Thursday, January 20, 2011

SEJARAH PERKEMBANGAN SISTEN EJAAN RUMI DI MALAYSIA



                  Sejarah awal penggunaan tulisan Rumi bahasa Melayu telah dilakukan oleh pedagang, penggembara dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan. Pada ketika itu bahasa Melayu menggunakan sistem ejaan tulisan huruf Rumi Latin. Mereka telah tertarik dengan tatabahasa yang terdapat dalam sistem ejaan ini. Bermula pada abad ke-16 itu para pedagang, sarjana dan penjelajah terus menggunakan tulisan Rumi Latin dalam bahasa Melayu.
                  Pada tahun 1902 perancangan awal terhadap sistem ejaan telah dilakukan oleh kerajaan tanah melayu pada ketika itu. Hal ini bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa ejaan yang telah diketuai oleh R.J Wilkinson. Hal ini telah menghasilkan sistem ejaan Wilkinson yang telah diterbitkan pada Oktober, 1904. Ejaan Wilkinson ini telah digunakan di semua sekolah Tanah Melayu serta turut diaplikasikan dalam kamus bahasa Melayu iaitu Kamus Jawi-Melayu-Inggeris (1903).
                  Sistem ejaan Rumi terus berkembang mengikut peredaraan masa dan keadaan sekeliling ketika itu. Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) telah ditubuhkan pada tahun 1922 adalah bagi meneruskan perkembangan sistem ejaan di Tanah melayu. Beberapa buku bahasa dalam tulisan Rumi dan tulisan Rumi yang memperluaskan sistem ejaan sekolah yang berasaskan sistem ejaan Wilkinson telah disusun, digubal dan diterbitkan oleh tokoh-tokoh bahasa, pengkaji bahasa dan tenaga pengajar di maktab perguruan tersebut. Contoh bahan ilmiah yang telah berjaya dihasilkan seperti Kitab Loghat Melayu, Kitab Kumpulan Nama Melayu (IBrahin Dato’ Muda Linggi) dan Kitab Pelita Mengarang (rumi).
            Perkembangan sistem ini bukan hanya terhenti disitu, malah kemunculan Sistem Ejaan Zaaba telah memartabatkan lagi sistem ejaan Rumi di Tanah Melayu yang wujud pada tahun 1972. Sistem ejaan Zaaba telah diperkenalkan oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC).
Selain daripada sistem ejaan Za’ba, dalam zaman pendudukan Jepun tahun 1942- 1945, terdapat penggunaan "Ejaan Fajar Asia". Ianya berbeza sedikit daripada ejaan Za’ba di Tanah Melayu dan ejaan van Ophuijsen di Indonesia. Angkatan Sasterawan ’50 kemudiannya menjadikan Ejaan Fajar Asia ini sebagai ejaan rasmi mereka. Selain daripada itu, terdapat juga "Ejaan Bebas" yang berupa ejaan Rumi tanpa sistem apa-apa, atau sistem yang menyatukan ciri-ciri ejaan daripada sistem- sistem yang ada, termasuk daripada sistem ejaan di Indonesia. Ejaan Bebas digunakan dengan agak meluas dalam urusan bukan rasmi dan dalam beberapa penerbitan akhbar, majalah dan buku.
Sistem ejaan Rumi Za’ba daripada satu segi memperlihatkan kaedah penggunaan lambang huruf yang beraneka ragam yang mengakibatkan ketidakseragaman pengejaan kata dalam amalan penulisan sehari-hari dalam semua urusan yang menggunakan tulisan Rumi. Penggunaan Sistem Ejaan Rumi Za’ba menjadi bertambah sukar kerana adanya pengejaan kata yang masih menurut Sistem Ejaan Rumi Wilkinson (1903) dan beberapa sistem ejaan Rumi yang lain yang digunakan di dalam pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang terbit serta tersebar semenjak tahun 1920-an.
            Pada tahun 1956, satu perhatian serius yang penting dan besar telah diberikan terhadap sistem ejaan di tanah Melayu. Lantaran itu satu kongres telah diadakan iaitu Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu. Beberapa pembaharuan telah dirancang dan dilaksanakan. Semangat yang tinggi dalam memperjuangkan sistem ejaan pada ketika itu telah mendapat perhatian dan sokongan dari kerajaan sehingga sebuah Jawatankuasa Ejaan telah berjaya dibentuk. Pada tarikh 17 April 1959 satu perjanjian persahabatan telah dimenterai Tanah Melayu dan negara Republik Indonesia. Hasil dari perjanjian tersebut maka terbentuklah sistem Ejaan Kongres.
Ejaan Kongres adalah sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu yang dipersetujui oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang ketiga pada tahun 1956. Perkara ini dirumuskan atas empat dasar pengejaan bahasa Melayu dengan huruf Rumi. Antara dasar yang telah dipersetujui adalah ejaan di Malaya dan di Indonesia hendaklah disatukan atau disamakan, peraturan ejaan hendaklah mudah; dan sistem fonologi diterima sebagai sistem yang lebih baik daripada sistem fonetik dan satu fonom hendaklah digambarkan dengan hanya satu tanda (huruf) saja.Pengejaan hendaklah tetap sekata mengikut kaedah yang satu dan semacam.Kata-kata dari bahasa-bahasa asing hendaklah disusunkan pengejaannya dengan hukum-hukum fonologi Melayu.
Ejaan Rumi Baharu tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkat supranasional yang menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya. Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.
Rumusan Ejaan Rumi Baharu memperlihatkan prinsip-prinsip linguistik, ekonomi, kesederhanaan, kejelasan dan fleksibiliti serta taraf standardisasi yang tinggi dan lebih nyata berbanding dengan sistem-sistem yang terdahulu. Ejaan Rumi Baharu tidak syak lagi merupakan wahana yang cukup mudah dan cekap bagi penulisan Rumi bahasa Melayu di rantau ini untuk beberapa dasawarsa yang akan datang.

1 comment: